Kita Bayangan Cermin

Ditulis oleh: -
Ada seorang sahabat baik saya seorang lelaki cina, Ng Teng Hong. “Azree, kamu orang Islam kena sembahyang hari-hari kan?” Saya menganggukan kepala dan kemudian dia menyambung, “Tapi kenapa tak nampak diorang sembahyang pun.”

Itu pandangan seorang beragama Budha terhadap kami peserta Muslim. Kemudian masih dalam perkara yang sama tetapi saya berhadapan dengan peserta lelaki yang beragama Islam pula bila diajak sembahyang sama-sama.

“Kau nak ajak aku buat apa. Tu budak sekolah agama tu, tak sembahyang pun,” Katanya sambil menunjukkan ke arah seorang rakan sebilik. Terasa dengan kata-kata rakan itu, barulah dia sembahyang juga.

Tapi, tidak pasal-pasal nama ‘sekolah agama’ juga yang keluar. Teringat kata Nabi Muhammad, “Seorang yang beriman itu adalah cermin kepada saudaranya.” Kata-kata yang ringkas tetapi memberi makna mendalam. Nabi Muhammad hanya mengibaratkan seorang muslim kepada muslim yang lain dengan objek cermin dan mesti ada sebab-sebabnya.

Saya cuba membahagikan ciri-ciri cermin kepada dua untuk menerangkan ciri-ciri cermin ini. Pertama, bagaimana ciri-ciri cermin yang perlu kita ambil dan kedua, ciri-ciri cermin yang perlu kita berhati-hati. Kenapa kita pula yang kena berhati-hati? Kerana Nabi Muhammad telah mengibaratkan kita sebagai cermin. Cuma kita kurang berhati-hati dengan sifat kita yang seperti cermin. Ciri paling umum sesuatu cermin adalah pantulan(reflection). Apabila kita berdiri di depan cermin, akan wujud imej kita di cermin tersebut. Itulah yang dipanggil sebagai pantulan. Sifat pantulan inilah yang perlu ada bagi setiap orang muslim, tidak kira jurujual, doktor, peguam mahupun seorang perdana menteri.

Kita perhatikan pula bagaimana cermin menjalankan tugasnya dalam memberi pantulan(reflection) yang perlu kita tiru:

1. Senyap:-Cermin memberi reflection tanpa berkata apa-apa. Begitulah juga kita, untuk menegur kita perlulah menegur secara hikmah dan baik. Bukannya dengan cara memaki hamun, mengata dan mengumpat.

2. Sepanjang masa:– Cermin memberi reflection sepanjang masa. Tidak kiralah bila-bila masa kita menghadap cermin tersebut, pasti cermin tersebut akan menjalankan tugasnya. Dari pagi sampailah ke pagi esoknya. 24 jam. Begitulah juga dengan kita, perlu memberi imej diri yang baik 24 jam. Dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Bukan sejam dua sehari.

3. Tidak lupa tugas:- Jika kita memecahkan cermin, kita masih boleh nampak diri kita pada serpihan-serpihan cermin. Ini kerana perlu diingat reflection cermin adalah sepanjang masa. Signifikannya biar dimaki hamun, dizalimi atau dalam keadaan susah kita tetap perlu menunjukkan imej muslim yang baik.

4. Tidak mengungkit:- Keburukan yang terserlah hanya diberitahu semasa kita berhadapan dengan cermin. Cermin tidak akan menyimpan imej-imej buruk tersebut selepas kita beredar dari cermin tersebut. Begitulah juga dengan kita. Setelah memberi teguran kepada saudara kita, haruslah kita cuba melupakan keburukan mereka.

Sekarang, kita lihat pula ciri-ciri cermin yang perlu kita berhati-hati:

1. Tidak memilih imej:- Cermin tidak memilih imej untuk dipantulkan. Kalau imej luar seseorang itu buruk, maka buruklah juga imej dalam cermin tersebut. Jadi, perlu kita hati-hati setiap masa kerana diri kita sentiasa memberi pantulan imej muslim kepada orang ramai.

2. Boleh berhabuk dan berdebu:- Cermin tidak boleh memberi imej yang sempurna dalam keadaannya berhabuk dan berdebu. Jadi, walaupun imej kita baik tetapi badannya penuh debu atau kotor, ia tidaklah dapat memberi imej yang baik sepenuhnya.

Sebagai kesimpulan, diri kita mencerminkan akhlak kita. Baik akhlak kita, mudahlah orang mendengar nasihat kita. Mudahlah tugas dakwah kita. 
Kita Bayangan Cermin
Kita Bayangan Cermin ditulis Oleh Sekedar Wawasan pada 2011-12-09T16:08:00+07:00 dengan rating 4 oleh 95 voters on Sekedar Wawasan.

0 comments "Kita Bayangan Cermin", Baca atau Masukkan Komentar

Post a Comment

Berkomentarlah dengan baik dan bijak, tidak mengandung unsur Spam, Sara, Pelecehan.

Komentar yang melanggar ketentuan akan dihapus! Sekian Terima Kasih.